Halaman

Cari Blog Ini

Sabtu, 17 Disember 2011

Kelebiihan Rumah Tradisional

Membina rumah di iklim tropika seperti di negara kita ini hanya boleh dilakukan dengan baik jika kita memahami dan memerhati suasana keadaan sekitar yang dipengaruhi faktor alam seperti :

> Menggalakkan pengaliran dan pengalihan udara.

> Penggunaan pencahayaan semula jadi.

> Penggunaan curahan air hujan.

> Mengurangkan penerimaan pancaran matahari dan tempias hujan.

> Rekabentuk rumah yang jimat tenaga.

> Penggunaan bahan bangunan yang mesra alam.

Rumah Melayu tradisional mencerminkan cara hidup dan sikap orang Melayu yang terbuka.Salah satu karakter rumah Melayu adalah penghayatan pada hubungan bermasyarakat dan keluarga. Dengan adanya beranda, konsep terbukanya sesuai untuk menyambut tetamu pada bila-bila masa dengan bebas di beranda tersebut. Kerangka atau struktur rumah pula menggunakan sistem tebuk-tembus dan pasak yang tidak memerlukan paku. Pembinaan rumah Melayu sebegini sebenarnya mempunyai konsep sistem pasang-siap, rumah boleh ditanggal-buka dan dipasang semula di tempat lain. Selain itu, cara binaan tanpa paku ini juga membuatkan rumah lebih anjal (flexible), sehingga ianya boleh diangkat secara gotong- royong untuk dialihkan ke tempat lain. Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/nipah atau kayu. Bahan-bahan inilah yang menjadikan rumah Melayu berkait rapat dengan alam semulajadi. Kesemulajadian ini membuatkan kesan ramah dan menyegarkan terpancar dari rumah Melayu. Tingkap biasanya akan mendominasi segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya ke dalam rumah. Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang minima.

Faktor cuaca memainkan peranan dalam asas rekabentuk rumah Melayu. Kekerapan hujan menghasilkan rekabentuk atap yang lebih cerun dan rumah bertiang tinggi untuk mengelakkan tenggelam apabila banjir. Cuaca yang panas menyumbang kepada rekabentuk yang lebih terbuka seperti membina tingkap yang banyak dan beranda. Ruang-ruang antara tiang pula memberi laluan angin di bahagian bawah rumah. Untuk mengurangkan lagi kepanasan, lubang angin di atas tingkap dan bumbung juga telah direka untuk menambah keselesaan.

Kehadiran Islam juga telah sedikit sebanyak mempengaruhi rekabentuk rumah Melayu,misalnya orientasi binaan dihadapkan mengarah ke kiblat. Ukiran dan hiasan rumah Melayu tidak berbentuk benda-benda hidup seperti burung, manusia sebaliknya dihias dengan ukiran awan larat dan motif tumbuh-tumbuhan (pucuk rebung). Ini bersesuaian dengan ajaran Islam yang melarang motif benda hidup dijadikan hiasan kerana dibimbangi akan mendatangkan pemujaan terhadap benda tersebut.

Kehadiran penjajah Barat pula telahmengubah teknik seni bina Melayu dengan memberikan alternatif baru kepada bahan binaanyang digunakan. Sebagai contoh, zink dan atap genting telah mengambil alih kegunaan atap rumbia dan kayu, bata dan simen telah menggantikan kayu sebagai tiang, tangga dan dinding, paku menggantikan pasak kayu dan akar sebagai penghubung/pengikat. Pengaruh ini boleh diambil secara positif atau negatif oleh masyarakat umum, ianya adalah pertembungan dua unsur; antara praktikal atau mengekalkan kesenian teknik binaan rumah Melayu.

Seni bina Melayu adalah kesan daripada pertembungan budaya kaum yang pernah mendominasi rantau ini seperti Bugis, Riau, Jawa, Acheh, Minangkabau, Siam, Cina dan Barat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan